Santai

Kisah Dari Pengkalan Pasir Sebutir

Oleh: teratakrimba

Setelah diisytiharkan oleh penyimpan mohor suruhanjaya pilihan raya negara Antah Berantah maka sahlah hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Pengkalan Pasir Sebutir di negeri Mek Siti Wan Kembung jatuh pada 27hb November 2005.

Hari memangkah undi pula ditetapkan pada 6hb Disember. Dia kasi can seminggu saja tempoh untuk berkempen. Katanya kalau bagi panjang-panjang sangat, akan jadi perkara lain pula, bergaduh ke.. berkapak kecik ke.. apa ke... Itu kata dialah. Tapi yang sebenarnya dia takut, lagi panjang tempoh kempen, lagi banyak isu-isu kemungkaran juak-juak penguasa akan terbongkar.

Dengan itu bermulalah aktiviti berkempen antara dua musuh tradisi iaitu Parti PAH
(Parti Angkatan Harakah) dan Parti HAPRAK (Habiskan Perbendaharaan Rakyat).

Memandangkan tidak terdapat stadium bersaiz olimpik di Pengkalan Pasir Sebutir, dewan yang bersaiz kecil daripada itu pun menjadi rebutan antara kedua-dua parti untuk mengadakan ceramah kempen.

Mengikut pemerhati politik yang diundang khas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bernama Kopi Ananunya Black, hanya terdapat satu dewan serbaguna sahaja yang sesuai untuk tujuan tersebut. Selepas puas bertegang urat keting antara kedua-dua parti, akhirnya dewan tersebut diluluskan kepada Parti HAPRAK. Parti PAH pula dibenarkan berceramah di ladang lembu kepunyaan Tok Berahim yang terletak jauh sedikit dari dewan serbaguna itu. Namun Parti PAH akur dengan keputusan itu. Yang penting ia dapat berceramah.

Kali ini tokoh-tokoh besar dari kedua-dua pihak akan turun padang untuk berkempen habis-habisan. Kerusi ini penting untuk kedua-dua parti bagi menguji kedudukan terkini pengaruh masing-masing.

Parti HAPRAK yang kempunan untuk memenangi kerusi tersebut dalam pemilu yang lalu akan menurunkan Ketua Agungnya yang bernama Pok Leh Tantawi bersama-sama dengan beberapa orang kanannya untuk berkempen.

Manakala Parti PAH pula akan menjemput Tok Ketuanya yang bernama Tok Ayahdi. Mereka juga mengundang Pemimpin Ulung dari Parti Angkatan Wadah Rakyat (ringkasnya Parti ANWAR) yang merupakan sekutu kuat mereka yang bergelar Pak Syeikh untuk menguatkan jentera kempen.

Tibalah hari mengadakan ceramah oleh kedua-dua parti. Kebetulan tarikhnya jatuh pada hari yang sama. Bagi memenuhi dewan serbaguna yang berhawa dingin itu pihak penganjur Parti HAPRAK terpaksa mengangkut budak-budak Tadika. Memandangkan masih lagi dalam suasana Hari Raya Idilfitri, maka dapatlah mereka mengelirukan pengundi kononnya mereka hendak mengagih-agihkan duit raya kepada kanak-kanak.

Puteri-puteri HAPRAK dari seluruh negara juga diangkut berbas-bas dengan disediakan duit poket lagi. Ramai juga ahli-ahli puteri yang pasang badan. Maklumlah Ketua Agung parti mereka seorang duda gantang yang baru kematian isteri. Mana tahu, kot-kot Tok Ketua mereka terpikat, ada canlah jadi isteri orang besar, macam Normala Bonat tu.…. janda muda yang come lote yang baru berkahwin dengan orang kanan Pok Leh Tantawi. Jamuan juga disediakan. Dengar kata, tujuh ekor lembu tempang tumbang.

“Kalau tak buat macam ni, jangan haraplah orang ramai nak datang,” terdengar komen dari seorang tukang masak yang sedang menghidang makanan untuk tetamu-tetamu kehormat.

Manakala suasana di ladang lembu Tok Berahim agak berbeza. Orang ramai berbondong-bondong datang dari segenap ceruk Pengkalan Pasir Sebutir. Kawasan lapang di ladang sudah dipenuhi orang walaupun mereka duduk beralaskan rumput sambil ditemani aroma tahi lembu kering yang menusuk hidung. Tidak ada jamuan disediakan. Tidak ada bas yang disewa. Tidak ada budak tadika yang dipaksa datang. Semuanya datang dengan hati yang rela. Maklumlah mereka hendak mendengar ucapan dari pemimpin mereka. Lebih-lebih lagi mereka tidak sabar hendak mengamati syarahan berapi-api Pak Syeikh yang terkenal dari Parti ANWAR yang baru habis bertapa di Gua Sungai Buluh Lemang. Hampir lima tahun juga beliau bertapa di sana. Tentu sudah penuh ilmu di dada. Jadi tentulah banyak cerita-cerita terbaru dari Pak Syeikh. Lagi pun rakyat marhaen terlalu rindu untuk mendengar ucapan pemimpin yang berkarisma-kapoor ini (maksudnya berkarismatik).

Maka sebaik sahaja selesai acara jamuan makan dan memberi duit raya, termasuk juga membahagi-bahagikan kain batik jawa dan pelikat samarinda, maka Pok Leh Tantawi pun memulakan ucapan di dewan yang separuh penuh itu.

“Kita mestilah menjadi rakyat yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” ujarnya penuh semangat.

Kelihatan beberapa orang hadirin berbisik-bisik di antara mereka: “Apa yang cemerlangnya? Semakin hari aku tengok ekonomi kita semakin tenggelam. Pengangguran semakin bertambah. Syarikat-syarikat milik kerajaan banyak yang kerugian dan banyak wang yang hilang. Ini yang dipanggil terbilang ke? ”

“Entahlah. Bagi aku, ini lebai malang,” jawab teman di sebelah secara sinis sambil ketawa terkekek-kekek.

Namun Pok Leh Tantawi masih terus dengan ucapannya di hadapan para hadirin yang kelihatan mengantuk kekenyangan seperti ular sawa bunting.

Sementara itu, di ceramah Parti PAH kedengaran ucapan berapi-api dari Tok Ayahdi disambut oleh laungan takbir “ALLAHUAKBAR, ALLAHUAKBAR berulangkali. Gemanya memecah sehingga ke dewan serbaguna. Ini mengejutkan para hadirin Parti HAPRAK yang sedang dibuai mimpi hasil ulitan celoteh Ketua Agung mereka.

“Hebat belah sana ya. Aku rasa nak gi dengar ceramah belah sana pula lah,” bisik seorang hadirin kepada rakannya yang sedang menguap. Di tangannya tergenggam sehelai kain pelikat percuma.

“Ya lah apa nak tunggu lagi. Kain pelikat pun dapat. Perut pun dah kenyang. Jom kita beransur!”

Kedua-kedua hadirin itu terbongkok-bongkok bangun secara perlahan meninggalkan majlis. Budak-budak tadika pun sudah mula bising. Agaknya bosan mendengar ucapan yang tidak difahami oleh mereka sehingga penganjur terpaksa menyuruh mereka diam.

Pok Leh Tantawi meneruskan ucapannya sambil menghunuskan keris dan berkata: “Inilah keris lambang jatidiri bangsa Melayu kita. Takkan Melayu hilang di dunia.” Disambut dengan tepukan bergemuruh.

Namun ada juga hadirin yang sinis.

“Memanglah Melayu tak hilang di dunia. Tapi banyak harta dan maruah Melayu dah hilang entah ke mana. Tengoklah fakta:
• Keretapi Tanah Melayu dah jadi KTM. Mana Melayunya?
• Bank Bumi milik Melayu hasil Kongres Ekonomi Melayu tahun 1965 sudah lenyap entah ke mana.
• Tanah Rezab Melayu dah banyak yang tergadai.
• Pulau Temasek milik Tanah Melayu dah terlepas dari genggaman gara-gara fikiran singkat pemimpin. Sekarang pulau ini dah berani memperkotak-katikkan kita.
• Yang banyak terlibat rasuah, siapa?
• Pegangan saham dan ekuiti Melayu tak sampai ke mana.
• Pemilikan hartanah komersil Melayu, secepot sahaja.
• Kuota anak Melayu di universiti-universti utama dah tinggal sebesar hama akibat sistem meritokrasi.
• Bilangan anak Melayu di pusat serenti dah tak boleh dibilang dengan jari lagi.
• Jumlah penagih dadah dimonopoli oleh Melayu. Mereka ni tak ubah macam bangkai bernyawa di lorong-lorong sempit di belakang mati, pembawa HIV.
• Yang lahir dan buang anak haram pun ramai Melayu.
• Orang Melayu dah ada yang berani tukar ugama. (Nauzubillahu-minzaalik).
• Bahasa Melayu dah hilang jatidiri. Layak diguna di majlis doa selamat sahaja. Pelajaran sains dan matematik dah hilang keyakinan dengan bahasa Melayu ini.
• Biasiswa anak Melayu di universiti menjadi pinjaman PTPTN.
• Dan banyak lagilah kalau nak senarai. Cukuplah dulu setakat ini, ”

Demikian gerutu seorang guru pencen yang duduk di barisan belakang bagi meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana anaknya lulusan universiti masih lagi menganggur, tapi dah terima surat saman kerana tak mampu nak bayar pinjaman pelajaran PTPTN. Mana nak cekau duit.

Tiba-tiba terdengar dentuman suara bak petir dari ladang lembu Tok Berahim:

“REFORMASI… REFORMASI… REFORMASI… ALLAHUAKBAR… ALLAHUAKBAR… ALLAHUAKBAR…. TAKBIR…. TAKBIR!!!

Bergemuruh sekali. Ini pasti Pak Syeikh dari Parti ANWAR yang berucap. Bisik salah seorang pemuda Parti HAPRAK yang sudah mula gian nak keluar dewan.

Keris yang sedang dijulang oleh Pok Leh Tantawi tiba-tiba terlucut dari pegangannya dek terkejut dengan laungan gemuruh penuh semangat dari parti lawan. Hadirin tergelak sesama sendiri.

Tanpa sedikit pun rasa malu dia memungut kembali keris yang terjatuh itu lalu menjulangnya semula setinggi mungkin.

“Kalau Hang Tuah masih hidup tentu dia bangga dengan kita kerana keris melambangkan kekuatan bangsa warisan keberaniannya,” Pok Leh Tantawi masih mengumpul sisa-sisa semangatnya.

Tiba-tiba, BEDEBUM…. BEDEBUM…. BEDEBUM… terdengar dentuman meriam buluh yang dimainkan oleh budak-budak nakal yang masih seronok menyambut hariraya. Maklumlah suasana kempen pilihan raya kecil ini masih di bulan raya.

Sekali lagi Pok Leh Tantawi terkejut. Nasib baik dia tidak ada penyakit lemah jantung. Kali ini keris yang dijulang tercampak ke bawah pentas. Hadirin terkejut sakan.

“Cakap merapu sungguh ketua parti aku ni. Tadi bukan main semangat. Dengar laungan dari ceramah PAH dan letupan meriam buluh pun dah kecut perut sampai keris pun terjatuh. Zaman sekarang ni mana ada orang perang pakai keris kontot tu lagi. Orang dah pakai bom nuklear. Itulah… ada seorang dua anak Melayu pakar buat bom habis kena bunuh di negara jiran. Rugi sungguh !!! Kalau di Palestin, orang macam ni disimpan untuk lawan Yahudi laknatullah. Apa cerita? Kalau Hang Tuah masih hidup pun dia kecut perut juga. Apa pasallah pemimpin aku ni lembik sangat.,” rungut Ketua Bahagian Parti HAPRAK yang duduk di depan pentas.

Memang benar, di sebelah sana Pak Syeikh sedang membuat ucapan berapi-api.

“Kita mesti kuatkan iltizam untuk menghapuskan rasuah. Rasuah sudah jadi barah dalam masyarakat kita terutama di kalangan mereka yang berkuasa. Hentikan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah. Caranya kita mesti undi Parti PAH dan seterusnya kita tukar kerajaaan yang lebih telus. Mereka cuma cakap saja berdegar-degar nak basmi rasuah dan salah guna kuasa konon, tapi hakikatnya masih bermaharajalela. Pemimpin mereka tidak ada kekuatan jiwa sebab mereka pun terlibat sama.” Tegas Pemimpin Ulung Parti Angkatan Wadah Rakyat (Parti ANWAR) itu.

Sekali lagi bergema laungan takbir dan reformasi. Lembu-lembu Tok Berahim habis bertempiaran. Kelihatan semakin ramai orang datang dari arah dewan serbaguna menuju ke kandang lembu Tok Berahim dan mengambil tempat lembu yang dah lari..

Namun, Pok Leh Tantawi seakan tidak faham kebosanan para hadirin yang sudah ramai meninggalkan dewan.

Sesekali matanya meleret kepada puteri-puteri HAPRAK. Ramai juga yang comel-lote lagi cun. Tergetik juga hati mudanya. Maklumlah dia sekarang sudah menduda kerana baru kematian isteri tercinta akibat penyakit kanser. (sedekahkan Al-Fatihah). ‘The Most Eligible Bachelor’lah katakan. Lagi pun dia masih macho lagi. Dan mereka ni pula masih anak dara. Tak ada salahnya kalau dia berkenan kat anak dara. Yang penting ikut syariat. Dia menjeling kepada orang kanannya, Tok Min Ibnu Khaldun yang baru berkahwin dengan janda cun-melecun bekas pengacara selebriti TV 3-Suku Bersaluran Satu yang bernama Normala Bonat. Sama cantik sama padan pasangan ini. Teringat pula kepada orang kuatnya, Paksu Jib yang juga kahwin janda, bekas bini orang lagi. Bekas mentornya, Ghaffur Nyonya pun kahwin janda, juga bekas bini orang. Heran depa ni, kenapalah suka sangat kat janda. Kan ramai anak-anak dara cun-melecun macam yang di depan ni.

Tapi janda bukan sebarang janda. Janda muda ada benda. Daripada cempedak baik nangka. Daripada budak baik janda. Ada juga di kalangan juak-juaknya yang minat kepada budak sekolah…. Err… Tapi dia terlupa pula namanya. Kabarnya dari negeri kelahiran Hang Tuah. Eeee… bikin malu Hang Tuah je. Kalau dah gian sangat kenapa tak pergi ‘tackle’ Putri Gunung Ledang yang dah lama menjadi andartu. Asytaghfirullahal-azim.. Dia beristighfar.

Dia terkejut dari lamunannya lalu meneruskan ceramah sambil menunduk membaca teks ucapan:

“Sekarang kita dah beri penekanan kepada bidang pertanian bagi menaikkan taraf petani di Pengkalan Pasir Sebutir ini. Kita hendaklah tanam banyak kacang panjang supaya langkah kita panjang. Dengan itu kita pun berfikiran panjang!!!. Pendek kata semua benda akan jadi panjang…” tegasnya bersahaja.

“Macam ni ke nak jadi pemimpin bertaraf dunia. Asyik bercakap pasal keris, pasal kacang,” merungut Pak Mat, yang dah bosan menanam tembakau sejak kecil lagi. Di tangannya tergenggam majalah Far Eastern Economic Review. Dia lagi canggih!..
Kini ramai hadirin yang mula meninggalkan dewan.

Tidak ada tepukan lagi sebagaimana di permulaan ucapan tadi. Pok Leh Tantawi pun mengangkat wajah dan memandang ke bawah pentas. Alangkah terkejutnya dia. Dewan sudah KOSONG kecuali tinggal DUA orang sahaja!!!! Yang lain termasuk puteri, pemuda dan kanak-kanak tadika sudah hilang entah ke mana.

Hairan bin ajaib, Pok Leh Tantawi pun bertanya kepada hamba Allah yang masih setia menanti itu: “ Kemana dia orang semua pergi ?”

“Saya pun tak pasti tuan. Agaknya dia orang pergi dengar Tok Ayahdi dan Pak Syeikh berucap kat ceramah PAH kot,” jawab lelaki separuh baya itu dengan gugup.

“Habis kenapa pula kamu masih di sini. Tak ikut sama ke?” Tanya Ketua Agung Parti HAPRAK itu lagi.

“Sebenarnya saya Ketua Cawangan merangkap imam kampung ini. Lepas ni giliran saya pula naik ke pentas untuk baca doa penutup majlis,” jawabnya lurus bendul.

“Kamu pula?” dia bertanya kepada seorang lagi hadirin yang tinggal.

“Saya penjaga dewan ini. Saya kena tunggu tuan imam habis baca doa, baru boleh pergi kerana nak tutup pintu takut lembu dari ladang Tok Berahim masuk ke sini pula.”

Sekian.

“MENGUNDILAH DENGAN BIJAK”

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Nota: Walaupun cerita ini bercorak jenaka dan berlaku di negara Antah Berantah (kalau kisah dan watak-watak di atas ‘sound familiar’ di negara kita, itu hanyalah kebetulan sahaja dan tidak ada kena mengena samada dengan orang yang hidup atau yang sudah mati, atau pun yang masih belum mahu mati ), namun ianya boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk kita mengundi di pilihanraya kecil Pengkalan Pasir yang sebenar berdasarkan fakta-fakta saintifik bukannya hipotesis yang dikemukakan.

InsyaAllah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Salam dari teratakrimba.

www.tranungkite.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home