Santai

Kelantan Boleh! Selingkar Kisah

Oleh: teratakrimba,
Bangi.

Sempena Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel(CHOGM) yang akan menjelang tidak berapa lama lagi, Queen Elizabeth, Ratu England yang merupakan Penaung pertubuhan tersebut telah mengarahkan Perdana Menterinya, Tony Blair untuk menjemput hanya ketua-ketua kerajaan yang pintar sahaja menghadiri persidangan tersebut.

Ini kerana dalam persidangan yang lalu, didapati ramai yang tidak bersedia dan datang hanya untuk makan angin dan menghabiskan burger sahaja. Ada yang berdengkur dan setengahnya tidak faham akan isu-isu yang dibincangkan. Akibatnya persidangan yang menelan belanja jutaan paun itu menjadi sia-sia.

Jadi Tony Blair pun mengutuskan surat kepada semua negara yang terlibat. Di dalam surat itu disertakan dengan klu, kuiz dan permasalahan yang perlu dijawab atau diselesaikan dengan segera oleh penerima bagi menguji kecekapan IQ masing-masing. Sesiapa yang tidak dapat menyelesaikan ujian, tidak layak menghadiri persidangan. Malaysia pun tidak terkecuali.

Pagi itu, pejabat PM Pak Lah Badawi menjadi gempar kerana menerima sekeping sampul surat berwarna putih. Masing-masing takut untuk membukanya kerana bimbang di dalamnya mengandungi debu beracun ‘Anthrax’ yang boleh membawa maut kepada sesiapa yang terkena atau terhidunya. Maklumlah, baru minggu lepas Kedutaan Amerika menerima ancaman kuman anthrax dari orang yang tidak dikenali.

Akhirnya sampul surat itu dibuka oleh seorang pakar bom. Rupanya ia mengandungi sebatang jarum peniti bersama sekeping nota dari Tony Blair. Pak Lah hairan kenapa Tony berbuat demikian. Lalu dia membaca kandungan nota tersebut yang berbunyi:

“Assalamualaikum sahabatku Pak Lah yang di kasihi,

Dulu semasa kami hendak memberikan kemerdekaan kepada Malaya, kami telah secara sinis berkata, macam mana Malaya hendak memerintah sendiri sedangkan hendak membuat sebatang jarum pun negara tuan belum mampu. Jadi, setelah hampir 50 tahun merdeka kami mencabar tuan untuk mengeluarkan sebatang jarum yang lebih halus daripada yang ini. Kalau gagal, tuan tidak layak menghadiri mesyuarat CHOGM nanti.

Sekian dan wassalam.

Yang ikhlas,
(maaf tak sempat sain)
……………………..
Tony Blair (PM Britain)”

Sebaik saja membaca nota, Pak Lah jadi panik lalu memanggil timbalannya Tok Jib untuk berbincang.

“Kalau macam ni susah kita Tok Jib. You boleh buat ke?” dia bertanya timbalannya.

“Saya tak pandai buat jarum kecik ni bos. Kalau jarum besar tu boleh juga saya belek-belek,” jawab Tok Jib yang juga cemas.

“Habis cam na ni. Blair tu nak suruh kita jawab cepat,”

“Begini bos. Bos jangan cepat gelabah. Pasal seni halus ni kita kena minta tolong dari Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul PAS tu. Rakyat dia di Kelantan tu memang hebat dalam bidang ini,” saran Tok Jib.

Pak Lah bersetuju lalu dia pun menelefon Tok Guru tersebut yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Assalamualaikum Tok Guru. Sihat ke la ni? Dengar kata hujan lebat kat KB. Baru balik main perahu ke?”

“Waalaikumussallam. Adik Lah ke tu? Ambo tak berapa segar. Semalam kena hujan masa kempen kat Pengkalan Pasir. Tapi dah kena 3 butir panadol, rasa sihat balik dah ni. Apa hal Adik Lah talipon ni. Nak turun ngepen ke?”

“Tak. Sebenarnya saya nak minta tolong daripada Tok Guru.”

“Nak mintak tolong gapa dia? Nak suruh calon PAS tarik diri ke?

“Bukan gitu Tok Guru.”

“Dah tu nak minta ambo bubar DUN ke? Baru ni Nuar Musa suruh ambo bubar kerajaan negeri supaya diadakan pilihanraya negeri yang baru.” usik Tok Guru.

“Dak eh, Tok Guru jangan dok ikut sangat eghe (karenah) budak Nuar tu. Dia tu gian nak jadi MB, nak ganti tempat Tok Guru. Dia tak sabar nak tunggu pilihanraya umum akan datang.’’ ujar Pak Lah.

‘‘Habis tu Adik Lah nak gapa ?’’ tanya Tok Guru lagi. Dia pun nak cepat sebab bateri handsetnya dah nak habis.

‘‘Gini… Ambo nak minta tolong Tok Guru cari orang yang boleh buat jarum halus untuk buktikan kepada Tony Blair. Kalau tidak, ambo tak leh nak hadir persidangan CHOGM,” rayu Pak Lah sambil menerangkan kedudukan yang sebenar.

“Hai, kata MALAYSIA BOLEH!. Takkan jarum pun nak kena suruh rakyat ambo juga buat,” perli Tok Guru.

“Tapi kali ni ambo minta sangat dengan Tok Guru. Kalu tidak malu ambo sebagai Pengerusi NAM dan OIC tidak dapat pergi ke sana,” pinta Pak Lah sambil merujuk NAM sebagai Non-Alligned Movement (atau boleh juga dibaca Non-Action Movement) dan OIC sebagai Organisation of Islamic Countries (atau kadang-kadang berbunyi Oh! I see...... nothing!!! ).

“Alaa.. ambo gurau je tu. Benda tu semesek (senang) sangat nak buat. InsyaAllah, kalu kerja seni ni serahlah kat rakyat ambo. Rakyat ambo pun rakyat Adik Lah juga. Janganlah Adik Lah runsing. Nanti ambo uruskan. Tapi Adik Lah kenalah hantar kat ambo jarum Tony Blair tu. Ya lah, ambo nak tengok juga besar mana jarum dia. Barulah kita boleh buat hak lebih kecik lagi.” ujar Tok Guru ikhlas.

“Terima kasihlah Tok Guru. Tok Guru la sahabat ambo dunia dan akhirat. Sebagai membalas jasa baik Tok Guru, ambo akan hadiahkan sebuah universiti kat Kelantan. Ya lah... sebab Tok Jib, timbalan ambo dah janji nak buka universiti, jadi ambo terpaksalah ikut,’’ ujar Pak Lah. Dalam hati geram juga dengan timbalannya itu. Asyik-asyik nak tubuh universiti. Pekerjaan tiada. Penganggur makin bertambah.

‘‘Ada duit lagi ke nak buka universiti? Besar belanja tu.’’ Tok Guru cuba menduga, sebab dia tahu duit kerajaan pusat dah makin merosot gara-gara banyak sangat bail-out projek kroni yang kaput. Syarikat-syarikat GLC kerajaan pun banyak yang rugi besar. Terbaru, Bank Islam, Proton dan MAS. Banyak lagi tu yang belum keluar.

‘‘Aaaada… aaadaa. Bab duit jangan Tok Guru risau. Banyak lagi dalam bank tu’’ jawab Pak Lah tergagap kerana baru pagi tadi dia semak akaun kat bank. Duit dah tinggal secepot je.

‘‘Molek sangatlah kalu gitu. Universiti kat Teganu tu Tok Jib dah buka ke?’’ perli Tok Guru kerana teringat akan karenah Tok Jib yang suka memancing undi dengan janji nak buka universiti baru setiap kali ada pilihan raya. Dulu masa BN pegang Terengganu tidak pula dia sibuk hendak buka universiti. Sekali rakyat Terengganu pilih PAS, baru kecoh hendak dirikan universiti. Nampak sangat tidak ikhlas.

‘‘Tak perasan pulak ambo tu…. Okaylah Tok Guru esok ambo hantar jarum Tony Blair tu.’’ jawab Pak Lah sambil cepat-cepat meletak telefon takut kena banyak soal. Bisa sungguh soalan Tok Guru ni. Payah nak jawab tu!!!. Tok Jib, Tok Jib, kau membuat aku pening. Bisik Pak Lah.

Keesokan harinya Tok Guru pun menerima sampel jarum dari Pak Lah. Memandangkan kempen pilihan raya kecil Pengkalan Pasir sedang rancak berjalan, maka Tok Guru pun memanggil kesemua calon yang bertanding untuk menguji kepintaran mereka masing-masing. Sebagai Menteri Besar dia berhak memanggil mereka ke pejabatnya untuk berbincang hal-hal kepentingan bersama.. Seorang calon UMNO dan seorang calon PAS. Manakala seorang lagi calon Bebas.

“Ketua demo, Pak Lah, suruh ambo buat jarum yang lebih kecil daripada ini untuk dihantar kepada Tony Blair, kalu tidak dia tak leh gi ke CHOGM. Jadi ambo nak mintalah cik Napi buat. Boleh ke?” Tanya Tok Guru kepada calon UMNO itu sambil menunjukkan jarum tersebut.

“Ambo tak pandai Tok Guru. Lagi pun ambo tengah sibuk mengempen ni. Ambo nak kena menang kerusi ni. Tak apa lah kalu Tok Ketua ambo tu tak dapat gi CHOGM pun. Itu dia punya pasal. Yang penting ambo menang kerusi ni,’ jawab calon UMNO itu cuba mengelak. Kemaruk sungguh hendak menang dia ni.

“Adik Him macam mana pulak. Ada skill ke dalam membuat jarum ni?” Tok Guru mengaju persoalan kepada calon Bebas yang bakal memberi cabaran hebat itu.

“Mintak maaflah Tok Guru. Mata ambo ni dah tak berapa nampak sangat nak mengukir benda-benda halus macam ni. Kalu suruh ambo gi tangkap pak katak bolehlah. Nak berapa ekor pun ambo sanggup. Katak pisang, katak puru, katak bobok, semua boleh. Tu memang kepakaran ambo sejak dulu lagi,” ujar calon bebas tersebut yang sering melompat parti. Masih ternampak kecenderungan untuk menolong dan bekerjasama.

“Kalu gitu terpaksalah ustaz Abang Par kena buat jarum ni. Orang UMNO dan Bebas ni nampaknya tak ada skill langsung. Puak dia cuma reti asah jarum aje. Macam mana Abang Par, sanggup ke?” Tok Guru mengajukan pertanyaan kepada calon PAS pula.

“InsyAllah Tok Guru. Ambo sanggup. Nak buat macam mana lagi. Demi negara ambo sanggup berkorban. Lagi pun kerja ni tak payah mana,” jawab calon PAS itu. Dia ingin melakukan kerja secara ikhlas walaupun dia sendiri sibuk berkempen.

Tok Guru menyerahkan sampel jarum itu kepada Ustaz Abang Par. Dia meneliti jarum tersebut. Halus sungguh jarum Tony Blair ni. Patutlah Pak Lah panik. Tentulah sukar untuk mencipta jarum yang lebih halus daripada itu. Tapi calon PAS itu berakal pintar. Dia membawa balik jarum itu ke rumahnya untuk berbincang dengan isterinya. Isterinya memang selalu pegang jarum. Maklumlah orang perempuan ni suka jahit-menjahit. Jadi masalah jarum ni kira kecil saja bagi mereka. Tidaklah dia rasa kekok. Lagi pun, di rumah Abang Par sendiri ada bermacam-macam saiz jarum. Ada yang kecil. Ada yang besar. Jadi senanglah dia nak buat perbandingan antara jarum dia dengan jarum Tony Blair tu.

Menjelang sehari sebelum mengundi, dia pun menyerahkan jarum tersebut kepada Tok Guru Nik Aziz. Tok Guru gembira lalu secepat kilat mengirimkannya semula kepada Pak Lah. Cekap cara MB Kelantan ini bekerja. Patutlah tidak ada pembaziran wang rakyat di Kelantan.

Pak Lah hairan!! Tok Guru memulangkan jarum yang sama.... Apalah Tok Guru ni!! Orang suruh buat jarum yang lebih halus, dihantarnya jarum yang sama. Lalu dia menelefon Tok Guru untuk mendapat pengesahan.

Tok Guru menyuruh Pak Lah mengambil kanta pembesar (magnifying glass) dan meminta Pak Lah membaca apa yang tertulis di atas jarum tersebut.

Pak Lah akur. Alangkah terkejutnya dia. Di jarum itu tertera perkataan:

“WAHAI PENDUDUK PENGKALAN PASIR. UNDILAH PAS. KELANTAN BOLEH !!!!!”

Sekian.

MORAL CERITA:

•Seni halus Kelantan lagi hebat. Orang Pas boleh menulis perkataan di atas jarum sekecil itu. Maknanya jarum yang digunakan untuk menulis tentulah lebih halus daripada jarum yang dikirim oleh Tony Blair. Orang Kelantan memang pintar.

•Nampaknya Tok Guru dan orang PAS Kelantan juga yang menyelamatkan Malaysia daripada dimalukan oleh Britain.

•Begitulah hakikatnya, bila UMNO menghadapi masalah, PAS juga tempat dia mengadu. Tapi yang dapat nama… UMNOOO jugak. Malaysiaaaaaaa jugak. Pak Laaaaaah jugak.

•Jadi kita kena tukar slogan. KELANTAN BOLEH!!! PAS BOLEH!!! memerintah sebenarnya.

Selamat Mengundi Dengan Bijak.

Salam dari: teratakrimba,Bangi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home